|
Pelajaran Agama dan Bahasa Arab
secara persekolahan telah bermula di bandar Pasir
Mas pada tahun 1939. Pengasas dalam pelajaran
Agama dan Bahasa Arab ini ialah Al-Fadhil Syed Abd.
Qadir Toha Al-Saquof, seorang penjual kitab agama
yang terkenal di Kelantan. Syed Abd. Qadir Toha
adalah seornag perantau yang berasal dari
Singapura dan menjadi guru agama yang terkenal di
bandar Pasir Mas. Beliau menggunakan kediamannya
yang bertempat di hadapan stesen keretapi Pasir
Mas sebagai tempat pertama untuk mengadakan kelas
agama dan Bahasa Arab di bandar Pasir Mas. Pada
pertama kalinya kelas ini mempunyai pelajar
seramai tiga orang sahaja, iaitu Hj. Mohamad b. Hj.
Ismail, Allahyarham Che Omar b. Hj. Ahmad dan Che
Abdul Rahman b. Hj. Mohamad.
Pada tahun 1940, bilangan
pelajar telah bertambah kepada belasan orang.
Antara pelajar yang gigih mempelajari Bahasa Arab
dan ilmu agama pada waktu itu ialah Hj. Omar b. Hj.
Ahmad, Hj. Abdul Rahman b. Hj. Mohamad, Che
Zakaria b. Abd. Rahman, Hj. Abdul Hadi b. Hj. Mohd
Nor, Hj. Ismail b. Ahmad, Che Mustaffa Tok Uban
dan Tn .Hj. Hamid.
Pada tahun 1942, bilangan
pelajar bertambah lagi kepada lebih 30 orang.
Tempat belajar juga telah dipindahkan ke sebuah
rumah berek di Jalan Lemal, Pasir Mas. Pada masa
ini Syed Abd. Qadir Toha telah dibantu oleh
seorang temannya bernama Syed Abdullah yang juga
seornag penjual kitab agama. Kesedaran masyarakat
Islam di bandar Pasir Mas terhadap pekajaran agama
dan Bahasa Arab lebih meluas, maka minat guru
terutamanya Syed Abd. Qadir Toha bertambah kuat
lagi. Berikutan daripada itu, Allahyarham Hj. Mohd
Daud Al-Ahmadi dengan kerjasama orang ramai dapat
mendirikan sebuah bangunan yang lebih besar di
atas sebidang tanah kepunyaan Hjh. Che Zainab Hj.
Wook, di hilir bandar Pasir Mas. Sekolah ini
diberi nama Madrasah Ahmadiah dan ditadbir oleh
Majlis Ugama Islam Kelantan (MUIK).
Bangunan ini sekarang dijadikan
musalla dan tempat mengajar Al-Quran. Bilangan
pelajar terus meningkat, ini menyebabkan keadaan
berubah dan terpaksa mengadakan sebuah bangunan
baru yang lebih besar dan selesa lagi. Hasil
kegiatan orang-orang Islam di bandar Pasir Mas
pada bulan April 1944, sebuah bangunan separuh
batu dua tingkat didirikan di Jalan Masjid Lama,
Pasir Mas.
Pertambahan murid setiap tahun
bertambah pesat. Oleh itu, pada tahun 1962,
persekolahan siadakan dua sesi iaitu sesi pagi
terdiri dari kelas yang lebih tinggi manakala sesi
petang terdiri dari pelajar- pelajar baru dan
kelas-kelas yang lebih rendah. Memandangkan
keadaan ini, Ustaz Hj. Hashim Hj. Idris (Guru
Besar ketika itu) telah membuat rayuan kepada
Kerajaan Persekutuan, melalui Kementerian
Pembangunan Negara da Luar Bandar untuk
mendapatkan sebuah bangunan baru. |